Monday, September 7, 2009

Mangsa Meriam Tanah

MUKA Mohd Zulkifli melecur akibat terkena letupan meriam tanah buatan sendiri ketika bermain bersama rakan di Kampung Cherang Batang, Jertih, Terengganu, petang kelmarin.

KOTA BHARU: Seorang murid Tahun Enam melecur teruk di bahagian muka termasuk mata, selepas meriam tanah yang dibina pada tebing sungai yang kelihatan gagal berfungsi selepas dinyalakan api, meletup secara tiba-tiba ketika diintai mangsa dalam kejadian dekat Pasir Akar, Besut, petang kelmarin. Murid Sekolah Kebangsaan Pasir Akar yang dijadualkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada Selasa ini, Mohd Zulkifli Mohd Adnan, 12, menempuh pengalaman perit itu ketika dia bermain meriam tanah berkenaan bersama beberapa rakan di Kampung Cherang Batang, Pasir Akar, kira-kira jam 4 petang.

Mangsa yang melecur teruk pada bahagian muka dan belum lagi mampu membuka kedua-dua mata yang turut bengkak akibat terkena letupan meriam terbabit, kini berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, selepas dirujuk dari Hospital Jerteh, malam kelmarin. Mohd Zulkifli berkata, dia dan beberapa rakan membina meriam tanah sepanjang kira-kira 2.5 meter itu di tebing sungai yang terletak berhampiran rumah datuknya, Mohammad Yakub, 60. "Karbaid itu dibeli seorang kawan di sebuah kedai runcit berdekatan. Sebelum meletupkan meriam itu, kami masukkan beberapa ketul karbaid dalam lubang muncung meriam terbabit, sebelum saya cuba meletupkannya secara menyalakan api menerusi lubang sumbunya, tapi ia tak meletup.


"Bila tak meletup, saya pergi mengintai menerusi lubang muncung meriam tanah itu tapi mulanya tak nampak apa-apa sebab gelap. Ketika saya sedang mengintai secara dekat itu, secara tiba-tiba meriam terbabit meletup dengan api keluar dari muncungnya menyambar muka dan kepala saya turut berasap apabila sebahagian rambut turut terbakar. "Letupan kuat menyebabkan saya jatuh terpelanting. Beberapa kawan yang bermain sama bergegas membantu membawa saya menaiki motosikal mendapatkan bantuan datuk yang berniaga di bazar Ramadan di Kampung Derau, kira-kira dua kilometer dari situ," katanya yang masih merasa kesakitan akibat kesan lecur yang dialaminya, ketika dilawati di HUSM, semalam. Mohd Zulkifli, berkata kejadian yang menimpanya kini menimbulkan kebimbangan, kerana bakal berdepan UPSR pada Selasa ini. Katanya, dia berharap masih mampu menduduki peperiksaan UPSR walaupun kedua-dua matanya kini masih sakit dan tidak mampu dibuka.

0 comments:

Post a Comment